.jpg)
Apabila ditanya tentang pencuci mulut paling mudah dibuat di rumah, semestinya ramai akan jawab kek batik pandan. Mana taknya, resepi ini tak perlu gunakan oven sama sekali.
Biasanya pencuci mulut ini dibuat bersama coklat ganache, tapi kali ini kami terjumpa resepi lain dari yang lain iaitu kek batik pandan yang sungguh lembut.
Bahan-bahan:
- 1 paket biskut Marie
- 100g butter
- 1 cawan nestum (dikisar halus)
- 1/2 tin susu pekat
- 1/2 tin susu cair
- 1 sudu kecil pes pandan
- Sedikit pewarna epal hijau
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, cairkan butter dengan api sederhana.
2. Kemudian, masukkan susu pekat serta susu cair dan kacau sampai sebati.
3. Selepas itu, masukkan nestum, pes pandan dengan pewarna dan gaul sebati sehingga menjadi pekat.
4. Seterusnya, tutup api dan masukkan biskut marie serta kacau sebati.
5. Akhir sekali, masukkan ke dalam bekas dan tekan sehingga padat, kemudian sejukkan dalam peti ais selama beberapa jam. Setelah itu, boleh dipotong. Siap untuk dinikmati!
Hasilnya yang lembut dan cair di mulut pasti membuatkan anda terasa puas menikmatinya. Jika sudah makan pencuci mulut ini, memang tak sempat nak toleh kiri kanan punyalah.
Tak perlu risau jika anda tak tahu buat kek sekalipun sebab orang yang tak pandai pun boleh dapat hasil menjadi setelah membuat Kek Batik Pandan ini.
Manalah tahu tiba-tiba anak teringin makan kek yang sedap, paling senang dan cepat mestilah guna resipi Kek Batik Pandan ini.
Selamat mencuba.
Sumber: Fatien Zaini