Resepi Ayam Masak Merah Bersantan - Lagi Sedap Makan Dengan Nasi Tomato



Masakan ayam ini juga sedikit berbeza dengan ayam masak merah yang biasa kerana ada menggunakan santan dan tidak pakai sebarang sos sama sekali.

Resepi ayam masak merah versi utara ini sangat sedap jika dimakan dengan aneka jenis nasi seperti nasi minyak, nasi tomato dan sebagainya.

Rasanya yang pedas, manis dan lemak bersantan pasti akan membuatkan sesiapa saja jatuh cinta! Sekali makan pasti akan teringat-ingat.

Jika ada yang mahu mencubanya, mari ikuti resipi lengkap perkongsian oleh Makcik Ratu di bawah.

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong ikut suka – dibersihkan digaul dengan garam, kunyit dan digoreng tapi jangan goreng terlalu lama nanti keras

Bahan tumis:

  • 1/2 biji bawang besar dipotong nipis
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 5 biji cengkih

Bahan kisar:

  • 20 biji cili kering dipotong direbus dikisar halus (jika suka pedas guna 25-30 biji cili kering)
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 batang serai
  • 1 cm halia
  • 2 cm lengkuas

Bahan lain:

  • 1 tin kecil tomato puri
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 tin kecil kacang peas

Cara memasak:

1. Tumis bawang besar dan bawang putih yang dihiris nipis sehingga layu.

2. Apabila sudah layu, masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan cengkih. Goreng sebentar, kemudian terus masukkan bahan-bahan kisar yang sudah dikisar.

3. Gaul sebati terlebih dahulu sebelum masukkan tomato puri.

4. Masak sehingga pecah minyak dan biarkan sehingga menjadi sedikit kering. Pastikan periuk sentiasa ditutup kerana masakan ini merecik.

5. Seterusnya, masukkan ayam dan santan pekat. Gaul sebati, baru masukkan gula dan serbuk secukup rasa.

6. Biarkan mendidih menggunakan api perlahan sehingga kuah ayam jadi berminyak.

7. Boleh tutup api. Masukkan kacang peas sebagai hiasan. Sangat sesuai dijamakan dengan apa-apa jenis nasi.

Selamat mencuba!

Sumber: Makcik Ratu