
Kami makan daging dendeng ini bersama dengan nasi putih dan untuk sayurnya pula, saya masakkan menu kegemaran kami berdua iaitu masak lemak putih labu dengan bayam. Seperti biasa, saya kena kawal nafsu makan walaupun rasa seperti hendak menambah nasi. Tak apalah. Jika panjang umur, lain kali, setelah saya capai berat yang disasarkan, saya masak lagi dan pada ketika itu bolehlah saya makan dengan sepuas hati tanpa risau jika berat badan naik kembali. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan:
- 1 kg daging
- Air secukupnya
- 1/2 cawan kicap manis
- 12 ulas bawang kecil/ 4 labu bawang besar*
- 8 ulas bawang putih*
- 2 inci halia*
- 15 tangkai cili kering*
- 2 batang serai*
- 2 batang serai (carik)
- 2 cawan air rebusan daging
- 1/2 cawan kicap manis
- 1/2 cawan kicap masin
- 4 helai daun limau purut
- 10 biji cili padi merah (pilihan)
- 10 ulas bawang kecil (untuk dijadikan bawang goreng)
Cara Penyediaan:
1. Masukkan daging yang telah dibersihkan dan air secukupnya ke dalam periuk atau periuk tekanan. Rebus daging sehingga empuk. Setelah daging empuk, keluarkan dari air rebusan, sejukkan dan hiris nipis. Tumbuk daging dengan menggunakan lesung batu supaya ia menjadi lebih nipis. Simpan sedikit air rebusan daging.
2. Gaulkan daging yang telah ditumbuk dengan kicap manis. Perap seketika (saya perap semalaman). Kisar bahan-bahan yang bertanda (*). Panaskan minyak masak secukupnya. Goreng daging yang telah diperap seketika sehingga kelihatan sedikit kering. Angkat dan ketepikan.
3. Tumis bahan kisar dan serai sehingga kering dengan menggunakan lebihan minyak gorengan daging. Masukkan air rebusan daging, kicap manis, kicap masin dan daun limau purut. Biarkan seketika sehingga cecair tinggal 1/2 dari isipadu asal.
4. Masukkan daging yang telah digoreng dan cili padi. Kacau rata. Biarkan cecair mengering (mengikut kesukaan masing-masing) dan daging masak sebati bersama dengan bahan-bahan yang lain. Perasakan dengan garam jika perlu. Akhir sekali, taburkan dengan bawang goreng. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
Nota: Saya goreng bawang dengan menggunakan ‘air fryer’ pada suhu 120C selama 15-17 minit. Kuis-kuiskan bawang goreng setiap 5 minit.
Sumber: Noor Ashikin Saerah