Dengan bismillah saya kongsikan resepi ini. Semoga pahala mengalir untuk arwah emak saya yang mengajarkan petua dan rahsia resepi ini.

Arwah emak pernah berpesan, kalau letak perasa pandan sahaja, agar-agar putih akan jadi hijau. Kalau mahu yang hijau lebih banyak, jangan terlalu banyak kacau. Kacau sekali-sekala sahaja. Bila sudah mendidih, tutup api, ambil yang hijau dahulu, barulah ambil bahagian putih. Tuang pun kena perlahan-lahan.

Bahan-bahan:

  • 28g agar-agar tali (cuci bersih)
  • 2 mug sedang air
  • 20–30 helai daun pandan (cuci, potong sederhana)
  • 3 mug sedang air (untuk kisar daun pandan)
  • 3 biji telur
  • RM3 santan pekat
  • 4 senduk nasi gula pasir

Cara Penyediaan:

  1. Masukkan agar-agar tali dan 2 mug air ke dalam periuk. Masak api perlahan hingga agar-agar cair sepenuhnya.
  2. Kisar daun pandan sedikit demi sedikit bersama 3 mug air. Tapis dan perah air pandan, buang hampas.
  3. Air pandan tadi dimasukkan semula ke dalam blender. Kisar lagi baki daun pandan hingga habis.
  4. Blender terakhir: masukkan 3 biji telur, kisar sebati, tapis semula.
  5. Campurkan air pandan + telur dengan santan pekat. Gaul sebati.
  6. Masukkan gula pasir ke dalam agar-agar cair. Kacau hingga larut.
  7. Tuang campuran air pandan + santan ke dalam periuk agar-agar. Tapis menggunakan penapis halus atau penapis kopi.
  8. Kacau sekali-sekala supaya lumut terbentuk banyak. Bila mendidih, tutup api.
  9. Ambil bahagian hijau dahulu, tuang ke loyang (loyang perlu dibilas air supaya mudah keluarkan agar-agar nanti).
  10. Baru tuang bahagian putih perlahan-lahan di atasnya. Sejukkan hingga keras.

Nota: Gunakan mug yang sama untuk semua sukatan.

Resepi dikongsi oleh: Rozita Daud